Thursday, January 6, 2011

Tiramisu


11:21 AM | , , ,

MANTAP... Empat pelakon utama drama bersiri Tiramisu iaitu (dari kiri) Zain Abdul Hamid, Sharifah Amani, Tania Hudson dan Pierre Andre yang hadir pada sidang akhbar di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar AHMAD ZAKKI JILAN

KALI pertama, Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahyadipertemukan dengan Pierre Andre menerusi filem Cinta arahan Kabir Bhatia sekitar lima tahun lalu.

Dalam filem yang telah diangkat sebagai Filem Terbaik FestivalFilem Malaysia Ke-20 (2007), Sharifah Amani memegang watak Arianna manakala Pierre pula sebagai Taufiq dan gandingan mereka itu telah berjaya mencipta keserasian antara mereka.

Memang tidak keterlaluan dikatakan, reaksi kimia yang tercerna antara mereka terpancar jelas di layar lebar dan mereka berdua juga dilabelkan sebagai pasangan yang cukup serasi.

Malangnya, selepas kejayaan filem Cinta, tiada satu pun filem mahupun drama yang menggandingkan mereka berdua.

Baik Sharifah Amani atau lebih mesra disapa Nani itu mahupun Pierre, masing-masing sebenarnya menunggu skrip dan cerita yang sesuai untuk kembali bersama dalam seluloid.

Akhirnya, doa dua orang anak muda ini dimakbulkan apabila Filmscape membuka peluang itu kepada mereka sekali lagi untuk digandingkan bersama dalam drama bersiri, Tiramisu.

Tiramisu yang sudah pun ditayangkan menerusi slot Akasia TV3 merupakan drama terbitan Filmscape yang sebelum ini cukup berjaya dengan drama bersiri seperti Nur Kasih, Habil Qabil, Kekasihku Seru, Tower 13 dan banyak lagi.

Bertemu dengan Nani pada majlis pelancaran Tiramisu di Restoran Rebung, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini, pelakon berusia 24 tahun itu memang sudah lama mendambakan untuk berlakon dalam sebuah drama romantik komedi.

Ini kerana jelas Nani, sejak kebelakangan ini, watak-watak yang diberikan kepadanya semuanya adalah yang berat sehingga dia sendiri perlu merehatkan seketika mental dan fizikalnya daripada berterusan membawakan watak sedemikian.

"Jadi, apabila saya ditawarkan oleh Fimscape untuk membintangi Tiramisu, ia adalah saat terbaik untuk saya. Lagipun, sudah lama saya tidak membintangi drama bersiri dan inilah masa yang sesuai untuk saya melakukannya.

"Lebih-lebih lagi, apabila mendapat tahu akan dipasangkan dengan Pierre sebagai teraju utama, ia membuatkan saya lebih teruja untuk berlakon dalam Tiramisu," ujar Nani yang kali terakhir membintangi drama bersiri Rona Roni Makaroni yang disiarkan di Astro Ria pada tahun 2009.

Sebelum itu, dia pernah berlakon dalam dua drama bersiri lagi iaitu Sindarela (2008) dan Emil Emilda (2007).

Selain Nani dan Pierre, drama bersiri 28 episod yang diarahkan oleh Faisal Ishak itu turut dibintangi oleh pelakon-pelakon popular lain seperti Zain Abdul Hamid, Tania Hudson, Rahhim Omar, Dira Abu Zahar, Allahyarham Faizal Yusop, Mia Sara, Sheila Mambo dan ramai lagi.

Nani yang baru sahaja dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Filem Terbaik Anugerah Skrin 2010 menerusi filem Muallaf itu turut memberitahu, barisan pelakon lain yang membintangi drama bersiri itu juga membuatkannya tidak menunggu lama untuk menerima tawaran Filmscape itu.

"Memang menyeronokkan apabila dapat berlakon di samping Dira dan arwah Faizal yang memegang watak sebagai kakak dan abang ipar saya dalam drama ini. Begitu juga dengan Rahhim yang menjadi bapa saya.

"Sepanjang berlakon dalam Tiramisu, ia berlangsung dalam keadaan yang cukup baik dan kami pun tiada masalah di lokasi. Semuanya berjalan lancar seperti mana yang dirancang," katanya yang memegang watak Melur dalam Tiramisu.

Berbicara tentang watak Melur, bagi Nani, ia adalah watak yang mudah untuk dibawakan kerana sebahagian daripada diri Melur ada dalam dirinya. Malah, sebaik sahaja membaca skripnya, dia sudah jatuh cinta dengan watak Melur.

Mengenai Pierre pula, Nani memang sudah lama mendambakan untuk kembali berlakon bersama anak kepada pelakon Khatijah Tan itu kerana keserasian dan dia sendiri berasa selesa apabila berdampingan dengan Pierre.

"Memang menyeronokkan apabila dapat berlakon semula dengan Pierre. Memang sudah lama saya mahu berganding dengannya selepas Cinta tetapi tiada peluang untuk kami bersama.

"Diharapkan dengan kehadiran Tiramisu ini akan mengubat kerinduan peminat yang selama ini menantikan kemunculan saya dan Pierre selepas filem Cinta," katanya yang baru selesaii membintangi sebuah filem Jepun yang masih belum berjudul.

Sementara itu, Faisal yang ditemui pula berkata, dia mempunyai alasan sendiri tentang rasional tiramisu diangkat sebagai subjek dalam drama bersiri terbaru arahannya ini.

Katanya, sebagai salah sebuah kek yang sukar untuk dibuat, dia mahu menggunakan metafora itu bagi menggambarkan perjalanan hidup dan perhubungan antara Dani Mirzan (Pierre) dan Melur (Nani).

"Sepanjang hidup mereka, ada sahaja halangan dan cabaran yang berlaku sehingga menyukarkan untuk Dani dan Melur bersatu. Inilah yang saya cuba gambarkan dalam drama ini sebagaimana sukarnya untuk membuat kek tiramisu sehingga ia menjadi sebuah santapan yang enak.

"Mengenai lakonan Pierre dan Nani, mereka berdua memang tiada masalah dan saya sendiri seronok bekerja dengan mereka. Ini kerana kedua-duanya tahu apa yang perlu dilakukan dan memberi apa yang saya mahukan.

"Begitu juga dengan kesemua pelakon yang sekali gus menjadikan proses penggambaran begitu mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi," kata Faisal yang sebelum ini pernah mengarahkan drama bersiri seperti Penunggu Gunung Raya, Tudung Ekspres, Habil Qabil dan terbaru, Juvana.

Sumber Dari Utusan

***aku suka giler citer ni..best la pelakon2nyer lagi2 si syarifah amani




0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...